sitiangie

sitiangie

Wednesday, 11 July 2012

[Artikel] Siti Jawab Kontroversi Muzik Video

 wartawan Rap: Ridzuan Abdul Rahman (mohamadridzuan@hmetro.com.my)
lokasi: Sidang Media Konsert Salaam Sami Yusuf di Singapura.


RAP: Sedar tak muzik video ini mencetuskan kontroversi?

SITI: Terpulanglah kepada mereka. Apa lagi yang boleh saya katakan. Sebenarnya Sami sendiri sudah tahu imej saya sebelum pilih saya berduet dengannya. Orang bercakap kerana tengok muzik video ini tak sempurna. Saya faham semua orang nak tengok yang baik-baik pada saya. Insya-Allah doakan yang terbaik buat saya.
          Saya tengok sebelum ini memang tiada isu sangat mengenai pemakaian saya (bertudung). Tapi apabila berduet dengan Sami, mungkinlah perkara ini menjadi isu. Tapi kalau kita lihat, Sami sendiri tak kata dia artis nasyid.

RAP: Apa komen apabila Siti dikatakan menumpang populariti Sami?

SITI: Perkara ini perlu dilihat dari sudut positif. Kolaborasi dengan Sami adalah satu langkah yang baik. Contohnya kami bergabung dalam konsert ini, ia satu permulaan untuk masing-masing mencipta populariti. Apabila Sami berduet dengan saya, secara tak langsung peminat yang tak kenal Sami akan bertanya siapa penyanyi itu.
          Saya pun berharap begitu kerana dengan cara ini, produk saya nanti akan diterima masyarakat Timur Tengah. Sebenarnya saya boleh berduet dengan artis lain juga. Cuma, berduet dengan Sami sangat mudah kerana dia cepat mesra. Kita dapat lihat bagaimana dia mengembangkan muziknya sehingga diterima ramai. Kalau kita lihat, lagu-lagu nyanyiannya juga pelbagai bukan saja dalam bahasa Inggeris, Arab dan pelbagai lagi.

RAP: Apa perasaan Siti terbabit menjayakan konsert ini?

SITI: Saya memang sangat gembira. Terima kasih kepada penganjur kerana sudi menjemput. Saya gembira dapat bertemu peminat di Singapura dan pada masa sama buat penampilan istimewa dengan Sami dalam konsert ini. Saya juga berterima kasih kepada Sami kerana memilih saya berduet dalam lagu yang menarik ini.

RAP: Apa yang Siti lihat menerusi gandingan ini?

SITI: Ia satu peluang yang baik untuk saya dikenali di negara Asia Barat. Saya ada perasan sejak lagu ini dimuatkan dalam YouTube, saya sudah dapat respons daripada peminat luar negara yang 'tweet' untuk tahu perkembangan saya. Bagi saya ini satu pencapaian yang membanggakan.

RAP: Bagaimana dengan jadual Siti sekarang?

SITI: Sebenarnya jadual saya sangat padat. Malam tadi (Sabtu) saya terbabit dengan persembahan sempena pembukaan Sukma (Sukan Malaysia) Pahang dan hanya sampai di Kuala Lumpur jam 3 pagi dari Kuantan. Awal pagi pula saya bergegas ke KLIA untuk ambil penerbangan ke sini.
          Biarpun penat, ini satu pengalaman baru buat saya. Saya gunakan peluang untuk menjayakan konsert ini dengan sebaiknya. Dapat jemputan untuk menyanyi dengan artis popular luar negara adalah satu peluang yang baik. Ia adalah pendedahan buat saya dan satu ruang yang baik untuk promosi.

RAP: Ada tak perancangan untuk buat muzik video lagu duet ini?

SITI: Buat masa ini belum ada perancangan lagi. Saya masih tunggu perbincangan lanjut. Muzik video yang ada sekarang memang tak sempurna sangat. Tapi ia perlu juga kerana orang nak tengok visual selain lagu.

RAP: Ada terfikir tak nak buat konsert di Singapura?

SITI: Memang ada permintaan tapi saya rancang nak hasilkan album terlebih dulu. Lagipun perancangan untuk buat album sudah lama difikirkan. Saya juga ada tawaran menjayakan konsert di sebuah lokasi di Kuala Lumpur tahun depan. Tempatnya tak payahlah disebut dulu. Saya juga masih berfikir sama ada nak keluarkan album mini atau penuh.
          Buat masa ini saya keluarkan single yang judul sementaranya Pusara Hati. Ia bukan dijual secara fizikal, sebaliknya menerusi digital (muat turun). Untuk projek ini saya tandatangan kontrak dengan Universal Music. Saya serahkan pada mereka bila nak pasarkan album ini. Sekarang teknologi sudah canggih. Tapi bagi saya album fizikal pun masih perlu untuk peminat simpan sebagai koleksi peribadi.

Siti dikerumuni peminat Singapura sejurus sebelum
Konsert Salaam Sami Yusuf di Stadium Tertutup, Ahad lalu.

No comments:

Post a Comment

DUTA SUPER MALAYSIA

DUTA SUPER MALAYSIA

KEEP VOTING

KEEP VOTING