shakilawati@hmetro.com.my
SIAPA yang tidak tertawan dengan cinta kisah dongeng. Segalanya tampak indah dan sempurna. Si dara jelita bertemu putera kacak yang sanggup bertarung nyawa demi mendapatkan cinta sejati, dilimpahi kemewahan hingga menjadi sanjungan ramai.
Itu kisah dongeng, realitinya tiada manusia yang dilahirkan sempurna. Kalaupun dikurniakan kemewahan, rupa paras cantik atau susuk badan menarik, pasti ada kekurangan pada aspek lain dan begitulah sebaliknya. Bahkan manusia tidak pernah puas, ada saja kemahuan yang ada kalanya melangkaui batas kemampuan diri.
Walhal hukum alam menuntut kita menerima sesuatu keadaan itu seadanya dan itulah mesej yang cuba disampaikan dalam muzik video terbaru Stacy, Kisah Dongeng yang mendapat sentuhan Wan Ibrahim sebagai sutradara.
Ketika ditemui di lokasi penggambaran di Dengkil baru-baru ini, pemilik nama sebenar Stracie Angie Anam ini berkata sepanjang tiga tahun bergelar penyanyi, banyak perkara yang membuka mata hatinya. Benar, bukan mudah mencari cinta sejati tetapi bagi gadis genit ini cukuplah andai dirinya diterima seadanya. Dan, pastinya itu juga bukan mudah diperolehi kerana kebanyakan manusia memandang rupa, pangkat dan kemewahan.
"Lagu dan lirik ciptaan Edry Abdul Halim ini mewakili isi hati saya dan ia boleh dikaitkan dengan kehidupan seharian sesiapa saja. Menerusi video muzik ini saya hadir sebagai pencerita dengan dibantu lima karakter yang tidak berpuas hati dengan keadaan diri masing-masing tetapi akhirnya belajar menerima diri seadanya. Sama seperti insan lain mereka juga damba kasih sayang yang ikhlas.
"Saya juga begitu, kalau boleh saya mahu orang terima saya sebagai Stacy. Perasaan ini diwakili dengan penampilan saya dalam video muzik ini yang pada mulanya glamor tetapi satu persatu saya lucutkan sehinggalah tampil tanpa sebarang solekan.
"Saya masih ingat, sebelum menceburi bidang ini saya hidup susah. Ketika itu tidak ada sesiapapun pandang saya malah mahu mendapatkan kerja pun sukar tetapi apabila saya cipta nama sebagai penyanyi keadaan berubah sekelip mata.
"Ramai yang mula sayang dan cuba mendekati saya. Jadi menerusi lagu ini saya mahu buka minda orang ramai supaya jangan sesekali membeza-bezakan mereka yang susah, kurang upaya atau tidak bernasib baik dan usahlah pandang rupa atau pangkat kerana kejadian manusia itu sama saja," katanya yang cukup selesa bekerjasama dengan Edry yang disifatkan sangat memahaminya.
Mengulas lanjut transformasi hidupnya, Stacy menjelaskan kasih sayang peminat umpama kisah fantasi yang sangat indah. Biarpun pernah berangan-angan bergelar penyanyi, dilimpahi kemewahan dan dipertemukan dengan pasangan yang kaya raya umpama kisah fantasi, tidak pernah terlintas salah satu darinya menjadi kenyataan seperti hari ini.
Justeru itu, dia cukup menghargai rezeki dan peluang depan mata. Biarpun melalui rutin yang padat dan memenatkan itu bukan masalah besar baginya sebaliknya Stacy sentiasa bersemangat melaksanakan tugas yang digalas sebaik mungkin.
"Apa yang saya lalui umpama magis dan saya sangat menghargai kasih sayang peminat terhadap diri ini. Saya tidak akan menghampakan mereka dan akan berusaha memberikan yang terbaik.
"Lagipun saya sedar tiada jalan pintas jika mahu berjaya, jadi kenalah bekerja keras. Pun begitu Tuhan itu adil, jika kita buat bersungguh-sungguh pasti cita-cita serta impian kita akan dimakbulkan," kata duta produk Clinelle, Intimate, Cornetto dan Silky Girl ini.
Jika sebelum ini Stacy sering memukau penonton dengan kelincahannya di pentas persembahan, menerusi Kisah Dongeng dia tampil berbeza dengan genre balada. Video muzik lagu yang dirakamkan pada 10 Mac lalu ini dijangka ditayangkan di saluran Astro penghujung bulan ini.
"Biarpun judulnya agak klasik, video muzik ini mengetengahkan konsep moden. Saya sukakan hasilnya dan berterima kasih dengan EASB dan KRU Studios kerana memenuhi permintaan saya.
"Selepas Kisah Dongeng, saya akan sibuk dengan proses pembikinan album kedua yang dijadualkan berada di pasaran bulan depan. Menerusi album yang diterbitkan oleh abang Edry ini, saya mencari kelainan dengan membawakan lagu-lagu berentak R&B, pop rock dan balada," katanya yang menyertai kelas lakonan dan Bahasa Melayu untuk memantapkan diri.
Sementara itu Yusry Abdul Halim yang mengetuai projek ini menegaskan konsep yang diketengahkan dalam video muzik ini sesuai dengan imej Stacy. Awal perbincangan dia sepatutnya mengarah video muzik ini namun melepaskan tanggungjawab itu kepada anak didiknya, Wan.
"Saya percaya dengan kebolehan Wan. Dia yang mencadangkan konsep ini dan saya melihatnya sebagai satu kerja yang sangat kreatif. Sebelum ini Wan sudah biasa menghasilkan video korporat malah dia mahir dengan kerja-kerja suntingan. Dialah yang menyunting filem Hikayat Merong Mahawangsa.
"Menerusi Kisah Dongeng kami cuba memaparkan realiti bahawa hidup tidak semestinya indah. Kami mahu penonton buka mata dan cerna mesej yang cuba disampaikan. Tidak mustahil ada beberapa perkara boleh mengundang rasa tidak puas hati pihak tertentu tetapi lihatlah ia dari sudut positif. Tafsir dan lihatlah Kisah Dongeng ini sedalam-dalamnya," kata Yusry.
sumber: Akhbar Metro Ahad
No comments:
Post a Comment