Foto: Munira Abdul Ghani
Solekan dan dandanan Yana, Wawa: Arni Mentari Kreatif (www.facebook.com/mentarikreatif)
Pakaian Yana: koleksi peribadi
Pakaian Wawa: Fucshia (www.facebook.com/fucshiaboutique)
Berkat sabar 10 tahun
Yana Samsudin lega kerja keras dapat sokongan padu peminat hingga genggam trofi Pelakon Filem Wanita Popular
Lebih sedekad bergelar anak seni, baru kini Yana Samsudin atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 29, berpeluang mengecapi erti popular sebenarnya di mata peminat. Tapi, dia agak bernasib baik, selepas dua kali disenaraikan sebagai finalis Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH), akhirnya pada edisi kali ke-26 ini, barulah beliau dinobatkan sebagai Pelakon Filem Wanita Popular, sekali gus mengetepikan calon favourite seperti Maya Karin dan Lisa Surihani.
Sebelum ini Yana pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) menerusi filem Adnan Sempit, diikuti gelaran Heroin Terhebat pada Anugerah Blockbuster 2012 apabila lakonannya menerusi filem Bini-Biniku Gangster dijadikan ukuran.
Siapa artis tanpa peminat
Pun begitu, bermula akhir 2011 dan sepanjang 2012, Yana muncul dengan pelbagai judul filem. Antara yang diingati termasuklah Strawberi Cinta, Aku Ada Kau Ada, Adnan Sempit 2, Minyak Dagu dan Wawa Semput. Sepanjang 2012 juga, Yana mengakui, dia tidak pernah mengambil cuti kerana kesibukannya di lokasi, selain menghadiri siri promosi filem lakonannya. Akhirnya, segala pengorbanan itu berbaloi pada ABPBH2012 apabila populariti dirinya diiktiraf peminat.
Benar kata pepatah yang sering kita dengar, tanpa peminat siapalah artis. Yana mengakui, kerja kerasnya selama dua tahun ini mendapat sokongan padu daripada kelab peminatnya, Yana Super Friend (YSF) yang genap dua tahun penubuhannya. Tidak hairanlah selepas dua tahun melayakkan diri ke senarai Top 5 ABPBH, Yana kini dinobatkan peminatnya untuk bergelar popular di gelanggangnya sendiri.
YSF 'jantung' Yana
"Saya tidak dapat menafikan perkara itu (YSF). Merekalah yang banyak memberi sokongan kepada kerjaya lakonan saya. Sebenarnya sejak saya muncul menerusi filem Histeria pada 2008, saya sudah mempunyai kelompok peminat sendiri dan akhirnya bertambah ramai sehinggalah tertubuhnya YSF. Tapi, ada juga ahli fan club lain yang turut memberi sokongan, namun YSF boleh dianggap seperti 'jantung' untuk saya terus bernafas dalam industri," kata Yana dalam pertemuan, baru-baru ini.
Seperti kelazimannya, rumah siap pahat berbunyi apabila kemenangan Yana seolah-olah dipertikaikan oleh pelakon dan pengacara baru, Neelofa Mohd Noor. Jika tahun lalu, Neelofa atau Lofa mempersoalkan kemenangan Tasha Shilla sebagai Artis Baru Wanita Popular sehingga menimbulkan kontroversi, kali ini dia dilihat seolah-olah mempertikaikan pula kemenangan Yana yang jauh lebih senior daripadanya, namun dalam 'nada' lebih manis dan terhormat.
Menerusi sebuah tabloid mingguan Ahad lalu, Lofa mengakui, ada beberapa keputusan yang dianggapnya sangat mengejutkan. "Contohnya untuk Pelakon Filem Wanita Popular, saya jangka akan dimenangi Maya Karin atau Lisa Surihani, tapi nyata rezeki milik Yana Samsudin. Lama juga saya hendak menerima keputusan dibuat peminat industri seni tanah air," kata Lofa.
Apabila Yana diajukan persoalan itu, ini jawapannya: "Saya tak pernah kenal dia (Lofa) secara dekat, berlakon sama pun tak pernah. Mungkin dia tidak mengikuti perkembangan diri saya. Tahun lalu, dia pernah mempertikaikan kemenangan Tasha (Shilla), sekiranya tahun ini beliau mungkin mempersoalkan kemenangan saya pula, itu hak dia untuk melontarkan pandangan, saya tak boleh cakap apa-apa. Nasihat saya, perlu banyak bersabar. Saya sendiri menunggu lebih sedekad untuk membawa pulang gelaran popular. Masanya akan sampai juga suatu hari nanti, insya-Allah," kata Yana.
sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment