sitiangie

sitiangie

Friday 12 August 2011

Siti Nurhaliza kini bersama Universal Music Malaysia

KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor tanah air, Dato’ Siti Nurhaliza Tarudin kini sah sebagai ahli ‘keluarga’ terbaru syarikat rakaman Universal Music Malaysia (UMM) setelah memetrai perjanjian usahasama antara label berkenaan dan syarikatnya, Siti Nurhaliza Production (SNP).

Usahasama yang dijalin bermula Julai 2011 ini merangkumi segala aspek pembikinan album dan lagu terbaru penyanyi berkenaan, juga segala bentuk promosi dan publisiti berkenaan kerjaya beliau sebagai penghibur.

Buah tangan sulung beliau bersama UMM kini dalam proses perancangan rapi dan peminat anak kelahiran Pahang ini akan dapat berhibur dengan produk terbarunya dalam bulan Oktober 2011 nanti. Bagaimana pun, hala tuju album dan lagu masih dalam perbincangan.

Bagi UMM sebagai sebuah syarikat rakaman yang turut menunjukkan perkembangan pesat dalam bahagian domestiknya, ikatan usahasama bersama Siti Nurhaliza adalah satu lagi usaha dalam mempertingkatkan lagi kemajuan seni muzik tempatan.

Jika sebelum ini beberapa nama-nama besar seperti Anuar Zain, Ning Baizura, Alleycats, Spider, 6ixth Sense, Ana Raffali, Maya Karin, Meet Uncle Hussain dan ramai lagi bernaung di bawah syarikat rakaman sama, kehadiran Siti Nurhaliza bagai melengkapkan barisan artis ternama di bawah satu bumbung sama.

Selain itu, kerjasama dua negara antara UMM dan PT Musica Indonesia yang memasarkan artis seperti Nidji, Letto, Peterpan, Samsons, D’masiv dan yang terbaru, Geisha, menguatkan lagi peranan UMM sebagai syarikat rakaman di nusantara.

Malah, UMM juga kini giat melaksanakan pencarian bakat-bakat baru untuk memeriahkan lagi industri muzik tempatan, selain membuka ruang kepada mana-mana penyanyi sedia ada untuk bekerjasama dalam melahirkan produk berkualiti.

Kehadiran penyanyi berpengalaman sepeti Siti Nurhaliza dalam syarikat rakaman UMM diharapkan dapat menyuntik semangat semua artis naungan label berkenaan agar lebih bekerja keras, selain turut memberi dorongan kepada pasukan UMM sendiri untuk mempertingkatkan kualiti produk dan perkhidmatannya.

Sokongan daripada semua penggiat industri hiburan tanah air juga amat diperlukan untuk memastikan usaha murni dalam memajukan seni muzik tempatan dapat dilaksana dengan berkesan.


sumber: budiey.com

No comments:

Post a Comment

DUTA SUPER MALAYSIA

DUTA SUPER MALAYSIA

KEEP VOTING

KEEP VOTING