sitiangie

sitiangie

Thursday, 29 August 2013

[Artikel] Yana utamakan penjagaan badan


Apa pendapat Yana mengenai kesihatan?
Bagi saya, kesihatan adalah gabungan kecergasan dan diet seimbang. Ia bermula daripada kekuatan mental dan fizikal kita. Hidup juga harus sentiasa positif dan bijak mengekalkan keseimbangan antara emosi dan beban kerja. Selain aktiviti kecergasan, saya menganggap kerja sebagai satu terapi bagi mengelakkan stres.

Bagaimana pula cara Yana menjaga kecergasan badan?
Saya suka berjogging dan apabila mempunyai masa terluang, saya akan keluar berjogging. Paling sikit saya akan berlari sehingga 2.2 kilometer (km), tetapi biasanya saya akan sasarkan untuk mencapai 8.8km. Selain itu saya juga sukakan yoga kerana ia membantu saya menurunkan berat badan. Saya hanya 'bergurukan' VCD di rumah sahaja dan banyak pergerakan yoga yang sudah saya pelajari.

Selain berjogging dan yoga, adakah Yana amalkan diet?
Ya dan saya amalkan pengambilan detoks. Katakan saya mahu turunkan berat badan, saya hanya akan makan buah tembikai dan oren yang dipotong. Ia akan menjadi makanan utama saya dari pagi hingga malam. Selain itu saya akan minum banyak air dan makan sayur, tapi jangan terkejut ya, saya boleh turun sehingga lima kilogram dalam masa seminggu selepas mengamalkan pemakanan sebegitu.

Sejak kebelakangan ini, Yana kelihatan semakin cantik dan berseri-seri. Boleh kongsi rahsianya?
Untuk pengetahuan semua, saya sebenarnya cepat rasa khuatir, terutamanya mengenai bentuk badan. Sebaik sahaja rasa badan sudah berisi, saya akan segera bersenam dan berdiet dengan lebih ketat, namun dengan cara yang sihat. Selain itu, bagi memastikan kulit dan badan sentiasa segar, saya amalkan berurut. Saya juga akan melakukan perawatan kuku sebulan sekali. Begitulah cara saya menjaga kecantikan. Saya juga tidak banyak mengambil makanan manis, masin dan berminyak, jika ambil secara berlebihan saya akan termuntah.

Bagaimana pula cara Yana tangani stres?
Jika saya berada dalam keadaan stres, saya suka berjalan-jalan di taman bersama kekasih saya, Antonio. Tapi jangan salah faham, dia bukan seorang lelaki, sebaliknya adalah seekor kucing jantan. Namun sejak dia sudah tua, dia sudah tidak suka berjalan di taman dan saya akan membawa teman lain iaitu Kadir. Tetapi lucunya, Kadir adalah seekor kucing betina, tetapi ketika kecil, saya ingatkan dia kucing jantan.

Apa perkembangan Yana kini?
Filem lakonan saya Adnan Sempit 3 baru sahaja ditayangkan di pawagam Aidilfitri lalu. Kini, ada beberapa tawaran yang saya peroleh dan masih dalam pertimbangan.

Ada pesanan buat pembaca?
Jalani hidup anda dalam persekitaran yang penuh ketenangan. Sihat, cantik dan cergas bermula daripada persekitaran yang positif. Malah saya percaya, hati yang sentiasa bersangka baik terhadap orang lain akan menyerlahkan sisi terbaik dalam diri kita.



sumber: Sinar Harian (edisi Utara)

DUTA SUPER MALAYSIA

DUTA SUPER MALAYSIA

KEEP VOTING

KEEP VOTING